TRADERTOWN.my

Gazprom
Gambar oleh www.gazprom.com

Gazprom: Pemberhentian Gas Di Luar Kawalan Kami

Gazprom telah memberitahu pelanggan mereka di Eropah bahawa mereka tidak dapat menjamin bekalan gas. Hal ini disebabkan oleh keadaan yang dikatakan sebagai ‘luar biasa’, menurut surat yang dilihat oleh Reuters.

Menurut surat bertarikh 14 Julai itu, syarikat gas dari Rusia itu berkata, ia mengisytiharkan ‘force majeure’ ke atas bekalan bermula dari 14 Jun.

‘Force majeure’ adalah klausa atau standard dalam kontrak perniagaan yang menyatakan keadaan melampau yang membebaskan pihak daripada kewajipan undang-undang mereka.

Ia juga dikenali sebagai klausa ‘act of God’.

Menurut satu sumber dagangan, ‘force majeure’ ini adalah berkenaan bekalan melalui saluran paip Nord Stream 1. Iaitu laluan bekalan utama ke Jerman dan seterusnya. Sumber ini bagaimanapun tidak mahu dikenali kerana sensitiviti isu ini.

Aliran yang melalui saluran paip ini berada pada tahap sifar. Hal ini kerana ia sedang menjalani penyelenggaraan tahunan yang bermula pada 11 Julai.

Penyelenggaraan ini dijangka akan siap pada hari Khamis.

Eropah khuatir Rusia melalui Gazprom akan menghentikan penghantaran gas sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas mereka berhubung perang di Ukraine. Hal ini boleh meningkatkan krisis tenaga yang berisiko menyebabkan rantau itu mengalami kemelesetan.

Kongsi Melalui: