TRADERTOWN.my

Sawit picture

Produk Sawit Tidak Dikenakan Levi Eksport – Indonesia

Produk sawit akan dikecualikan daripada dikenakan levi eksport sehingga 31 Ogos, kata pegawai Kementerian Kewangan Indonesia pada Sabtu, 16 Julai.

Langkah ini adalah bagi meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori yang tinggi. Langkah ini bagaimanapun dijangka tidak akan mengganggu pendapatan kerajaan.

Keputusan oleh pengeksport minyak sawit terbesar dunia itu dijangkakan boleh menekan lagi harga komoditi itu. Yang telah pun jatuh kira-kira 50% sejak akhir April ke paras terendah dalam lebih setahun.

Indonesia telah mengenakan larangan eksport selama tiga minggu sehingga 23 Mei yang lalu. Ini adalah untuk mengurangkan harga minyak masak domestik.

Semenjak itu, pengeluar minyak sawit Indonesia telah bergelut dengan inventori yang tinggi sejak negara itu.

Sejak menarik balik larangan itu, Indonesia telah melaksanakan peraturan mengenai jualan tempatan mandatori. Ia dikenali sebagai obligasi pasaran domestik (DMO). Obligasi ini adalah untuk menyimpan hasil domestik untuk dijadikan minyak masak.

Pada masa yang sama, mereka telah cuba mengurangkan inventori dengan memotong cukai eksport dan melancarkan program pecutan penghantaran.

Tetapi, eksport masih kekal perlahan dan syarikat telah menyalahkan peraturan DMO serta masalah dengan mendapatkan kapal kargo.

Stok minyak yang tinggi telah memaksa kilang mengehadkan pembelian buah sawit. Petani turut mengadu buah mereka yang tidak terjual terpaksa dibiarkan reput.

Menurut data daripada Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI), terdapat 7.23 juta tan minyak sawit mentah dalam tangki simpanan pada akhir Mei.

“GAPKI mengalu-alukan langkah baharu itu, tetapi ia telah mengesyorkan bahawa peraturan DMO perlu juga dihapuskan”, kata Setiausaha Agungnya, Eddy Martono.

“Buat masa ini keluarkan DMO sehingga stok turun kepada 3 juta hingga 4 juta tan. Masalah kami sekarang ialah inventori terlalu tinggi,” katanya kepada Reuters.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati berkata, levi eksport minyak sawit progresif akan dikenakan bermula 1 September. Dengan kadar ditetapkan antara AS$55 dan AS$240 satu tan bagi minyak sawit mentah, bergantung kepada harga.

Kongsi Melalui: