Facebook Inc (NASDAQ:FB) dan Alphabet Inc (NASDAQ:GOOGL) umum penyertaan mereka dalam projek sistem kabel bawah laut. Sistem ini dibuat untuk menambah baik jaringan internet di rantau Asia Pasifik menjelang tahun 2024.
Projek pembangunan infrastruktur yang diberi nama Apricot itu bakal menghubungkan Jepun, Singapura, Taiwan, Guam, Filipina dan Indonesia.
Mac lalu, Facebook Inc umum dua projek kabel bawah laut transpasifik, Bifrost dan Echo. Projek kabel ini akan menghubungkan Singapura, Indonesia sehingga ke Utara Amerika.
Manakala, projek kabel bawah laut Apricot pula merupakan lanjutan daripada projek Echo tetapi dengan darjah ketersampaian yang lebih tinggi. Lebih banyak negara yang akan terlibat. Projek kabel bawah laut Asia Pasifik ini mempunyai kapasiti 190 terabit sesaat.
Permintaan terhadap akses jaringan fiber dan rangkaian 5G semakin meningkat terutamanya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. Ramai orang mula beralih kepada urus niaga, pembelajaran dan urusan atas talian.
Rantau Asia Tenggara merupakan antara prospek penting dalam pasaran digital. Google dan Facebook menjangkakan perkembangan pesat digitalisasi di rantau ini.
Justeru, projek kabel bawah laut pasti akan dapat membantu memudahkan penduduk terutamanya di rantau Asia untuk melayari internet dengan lebih pantas dan efisyen. Sudah tentu digitalisasi yang rancak ini akan memberi lebih banyak manfaat kepada syarikat teknologi gergasi seperti Google dan Facebook.
Belajar trading global percuma di Telegram rasmi TRADERTOWN.