TRADERTOWN.my

Vaksin
Gambar oleh Dado Ruvic

Vaksin COVID-19 terbukti berkesan, dunia kembali bernafas!

Sejak dunia dilanda wabak COVID-19, kebanyakkan negara termasuklah negara maju seperti Amerika Syarikat (A.S), United Kingdom (U.K) dan negara lain yang berkepadatan tinggi berdepan dengan berjuta kematian rakyat dan pelbagai industri seperti minyak mentah masih bergelut dengan permintaan yang rendah. Pencarian dan penyelidikan vaksin telah dimulakan oleh pelbagai syarikat farmaseutikal untuk mencari penawar kepada jangkitan virus ini.

Setahun kemudian, baru ada berita baik!

Salah satu vaksin COVID-19 yang dipercepatkan proses percubaannya awal tahun ini nampak seperti berkesan.

Vaksin yang dibangunkan secara bersama oleh syarikat farmaseutikal Pfizer Inc. dan firma bioteknologi Jerman, BioNTech SE dilaporkan 90% efektif dalam menghalang jangkitan COVID-19.

Jika betul data yang dikeluarkan, ini bermaksud bagi setiap 10 kes jangkitan, 9 daripadanya dapat dihentikan.

Sesuatu virus menjadi pandemik kerana perumah seperti manusia sangat terdedah kepada rantaian jangkitan. Jadi, sekiranya vaksin itu mempunyai kadar efektif 90%, maka ianya adalah cukup untuk menghentikan rantaian jangkitan itu.

Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit, Anthony Fauci mengulas penemuan keputusan ini adalah satu perkara yang bagus dan berimpak besar terhadap pembangunan penyelidikan bioperubatan.

Tetapi, masih awal lagi untuk kita bergembira. Dalam masa beberapa minggu akan datang, banyak lagi data berbeza yang akan dinilai. Hal ini kerana, sesetengah kumpulan ujian berkemungkinan besar memberikan tindak balas berbeza terhadap vaksin tersebut.

Ini termasuklah kesan sampingan yang mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk dikenal pasti. Suntikan vaksin tersebut juga perlu disimpan dalam suhu yang sangat rendah. Isu logistik penyimpanan vaksin ini akan menimbulkan masalah untuk proses pengedarannya nanti kepada seluruh dunia yang mempunyai suhu dan iklim yang berbeza.

Tetapi, di sebalik halangan ini, sekurang-kurangnya kadar efektif yang ditunjukkan vaksin setakat ini memberikan harapan kepada dunia untuk keluar dari kemelut pandemik.

Kejayaan syarikat Pfizer adalah berita baik kepada pembuat vaksin yang lain seperti Moderna Inc. yang bergantung dengan teknologi mRNA yang sama. mRNA merupakan molekul yang bertanggungjawab dalam memberi arahan genetik kepada tubuh badan untuk menghasilkan tindak balas imun. Tindak balas ini penting dalam melindungi diri daripada jangkitan virus.

Pfizer dan BioNTech dijangka akan memohon pengesahan kecemasan daripada Pentadbiran Dadah dan Makanan A.S. Pada masa yang sama, syarikat itu akan meneruskan kajian dan mengumpul data mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut.

Sekiranya permohonan pengesahan diluluskan, vaksin tersebut akan diutamakan terlebih dahulu kepada petugas perubatan barisan hadapan dan golongan yang berpotensi tinggi dijangkiti virus seperti pesakit kronik.

 

 

 

 

 

 

Kongsi Melalui:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *