TRADERTOWN.my

RCEP picture
Gambar oleh dailytelegraph.com.au

RCEP: Talian hayat untuk Australia pujuk semula China?

Menteri Perdagangan Australia berharap agar kerjasama perdagangan ekonomi Asia-Pasifik melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dapat membantu menambah baik hubungan antara negara itu dengan China.

 

Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) merupakan kerjasama ekonomi yang melibatkan 10 buah negara Asean bersama 6 buah negara Asia Pasifik iaitu China, India, New Zealand, Korea Selatan, Australia dan Jepun.

 

Namun begitu, India menarik diri daripada RCEP pada 4 November 2019 atas sebab-sebab tertentu.

 

Kerjasama ekonomi antara negara Asean dan negara ekonomi besar Asia Pasifik ini berpotensi untuk menjadi antara kerjasama perdagangan bebas terbesar di dunia.

 

Dengan kelebihan populasi lebih daripada satu per tiga populasi dunia dan 30% produk domestik kasar, kerjasama itu akan bertujuan untuk membolehkan negara anggota menikmati kadar tarif yang rendah, akses pasaran antara rantau yang terbuka dan meningkatkan pelaburan untuk negara anggota.

 

Sebelum ini, hubungan antara Australia dan China tegang selepas Canberra menggesa siasatan antarabangsa dilakukan untuk mengkaji asal usul COVID-19.

 

Akibat daripada tindakan Australia tersebut, China merajuk dan beranggapan negara yang terkenal dengan kanggaru itu sengaja memerli mereka. Hal ini kerana COVID-19 mula-mula tercetus di Wuhan, China pada akhir tahun lepas.

 

Oleh itu, penganalis ekonomi berharap agar kerjasama negara itu dengan negara anggota ASEAN ini akan menjadi satu platform untuk menyuntik perubahan positif dalam hubungan kedua-dua buah negara itu.

 

Sebelum ini, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin menegaskan keputusan yang diambil oleh China sama ada akan mengadakan sekatan terhadap barangan import dari Australia adalah sah di sisi undang-undang dan mempunyai alasan yang kukuh.

 

Sekarang, terpulang kepada China sama ada ingin berbaik-baik semula dengan Australia ataupun kekal bermasam muka. Tetapi, seperti yang kita tahu, kebiasaanya China cenderung untuk mengutamakan keuntungan kepada negara mereka dalam setiap perkara terutamanya dalam aspek ekonomi.

 

Jadi, berkemungkinan besar, China akan berlembut semula dan memaafkan tindakan Australia yang dilihat seolah-olah cuba mencabar kejujuran dan ketelusan China dalam isu penyebaran pandemik COVID-19.

Kongsi Melalui:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *