TRADERTOWN.my

evergrande picture
Gambar oleh AP

Krisis kewangan Evergrande, masih adakah jalan keluar?

Jika anda peminat pasaran saham China, pasti anda biasa dengar nama syarikat Evergrande Group (HKG:3333). Baru-baru ini hangat isu berkenaan dengan krisis kewangan syarikat ini diperkatakan.

Dengan lebih $300 bilion hutang kepada bank dan pelabur, status kedudukan kewangan syarikat gergasi ini merisaukan pelbagai pihak.

Orang ramai berkumpul untuk menuntut pembayaran balik pinjaman dan produk kewangan di ibu pejabat Evergrande, di Shenzhen, provinsi Guangdong, China 13 September 2021. REUTERS / David Kirton

Tetapi, persoalannya, bagaimana sebuah syarikat pemaju hartanah kedua terbesar di China berdepan dengan krisis kewangan yang sangat teruk ini?

Siapa Evergrande?

Evergrande diasaskan sebagai Hengda Group pada tahun 1996 di bandar Guangzhou, selatan China oleh seorang trilionair, Xu Jiayin (Hui Kai Yan).

Beliau disenaraikan sebagai orang ketiga terkaya di China pada tahun 2020. Taikun hartanah ini juga pernah menjadi orang pertama terkaya di China pada tahun 2018, menewaskan Jack Ma.

evergrande picture

Syarikat pemaju hartanah itu mempunyai lebih 1,300 projek di 280 buah bandar. Majoriti dana yang digunakan untuk mengembangkan syarikat adalah hasil daripada pinjaman bank dan terbitan bon kepada pelabur.

Syarikat pemaju hartanah gergasi ini turut terlibat dalam industri tenaga hijau (Evergrande New Energy Auto), pelancongan taman tema (Evergrande Fairyland), bola sepak (Guangzhou F.C.), media dan internet  (HengTen Networks), makanan, air mineral (Evergrande Spring) dan pelaburan (Evergrande Securities Hong Kong Ltd).

Pemain Guangzhou Evergrande bergambar sebelum perlawanan kedua perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC antara Guangzhou Evergrande dan Emiriah Arab Bersatu di Guangzhou, China, 21 Nov 2015. Foto: Xinhua

Macam mana tiba-tiba boleh ada krisis ni?

Syarikat gergasi itu dilaporkan telah mengirim surat kepada pegawai di Guangdong pada Ogos lalu.

Dalam surat tersebut, syarikat itu telah menzahirkan kebimbangan berkenaan dengan krisis kecairan yang berpotensi terjadi setelah pembayaran Januari 2021.

Sepanduk yang mempromosikan projek perumahan Emerald Bay di luar China Evergrande Center di kawasan Wan Chai di Hong Kong, China, pada hari Jumaat, 23 Julai 2021. Foto: Getty Images

Berita tentang permohonan syarikat tersebut meminta tolong berkenaan dengan krisis kecairan aset syarikatnya itu akhirnya tersebar meluas di media sosial.

Pelabur juga mula berasa tidak yakin dengan prestasi syarikat. Mereka mula menuntut semula modal masing-masing sekurang-kurangnya $13 bilion.

Cukup ke nak bayar hutang ni?

Menurut Evergrande, mereka sudah mempunyai rancangan menggurangkan beban hutang sehingga $100 bilion menjelang pertengahan tahun 2023.

Penggurangan hutang ini akan dibuat menerusi penjualan aset dan penawaran saham syarikat.

Dikhabarkan kira-kira $80 bilion nilai ekuiti dalam bisnesnya adalah selain daripada sektor hartanah.

Foto: VCG

Setakat ini, Evergrande telah berjaya meraih $8 bilion menerusi penjualan saham dalam beberapa buah anak syarikatnya.

Syarikat itu juga dikhabarkan turut mencuba nasib dengan menceburi bidang pelancongan dan perniagaan air mineral. Tetapi, bidang baru ini masih lagi belum mampu menjana keuntungan drastik buat syarikat.

Tak boleh ke tambah lagi pinjaman?

Sebelum ini, taikun Xu Jiayin pernah didesak oleh Beijing untuk tidak lagi menambah pinjaman.

Namun begitu, trilionair itu mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa taikun perniagaan China yang lain.

evergrande picture

Sekurang-kurangnya lebih $16 bilion dana telah berjaya diraih oleh beliau menerusi penawaran bon kepada rakan-rakan taikunnya.

Berapa banyak lagi masa yang tinggal?

Tarikh akhir pembayaran semula bon sebanyak $2 bilion dan $1.45 bilion masing-masing dijadualkan pada Mac dan April akan datang.

Kenapa Xi Jinping tak nak tolong Evergrande?

Foto: Xinhua

Jika kerajaan China selamatkan syarikat besar seperti Evergrande, ianya seolah-olah menyokong tindakan syarikat itu yang membuat pinjaman besar-besaran dengan cuai.

Ini juga akan menyebabkan syarikat lain mudah alpa dengan pengurusan kewangan. Sebab mereka fikir, jika rugi sekalipun, pasti kerajaan akan bantu mereka.

Namun begitu, krisis kewangan Evergrande memberi impak besar terhadap sistem kewangan di China terutamanya dalam sektor hartanah.

Beribu-ribu pelabur dan rakyat marhaen yang mencari makan dengan syarikat itu juga turut terkesan.

Ini meletakkan kerajaan dalam dilema. Ibarat diluah mati emak ditelan mati bapa.

 

Belajar saham global secara percuma. Klik channel Telegram TRADERTOWN di sini. 

Kongsi Melalui:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *