TRADERTOWN.my

minyak naik picture
Gambar oleh Kevin Lamarque

Minyak naik, Trump akhirnya pasrah menyerah kalah!

Minyak naik pada hari Rabu sesi pagi semasa pasaran Asia. Kenaikan ini didorong oleh berita pengedaran vaksin COVID-19 dan kestabilan landskap politik Amerika Syarikat (A.S) sejak peralihan kuasa Presiden.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 1.19% kepada $48.35 manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 1.11% kepada $45.41. Kedua-dua niaga hadapan ini mencatatkan kenaikan melebihi paras $45 buat pertama kalinya sejak Mac.

Penantian positif untuk program vaksinisasi COVID-19 yang dijangka bakal diedarkan pada Disember ini membantu memberi faktor penaik kepada pasaran terutamanya niaga hadapan minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah sebelum ini terjejas teruk sejak dunia dilanda pandemik wabak COVID-19 dan berdepan dengan kelembapan ekonomi.

Keadaan ekonomi global dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan dan ini dapat membantu pasaran produk petroleum untuk kembali pulih kepada keadaan asal sebelum pandemik.

Selain itu, peralihan kuasa Presiden A.S yang positif menyumbang kepada kenaikan harga minyak. Sebelum ini, Donald Trump enggan memberi akses sepenuhnya pentadbiran Rumah Putih kepada Joe Biden. Donald Trump juga tidak mahu menerima kekalahan beliau dan cuba untuk mempertikai keputusan pilihan raya A.S kepada mahkamah.

Peralihan kuasa yang positif ini menenangkan kembali pasaran yang sebelum ini berdepan ketidaktentuan akibat kegusaran tentang hala tuju pentadbiran A.S.

Tambahan pula, rancangan Joe Biden untuk melantik semula bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan A.S turut memberi impak positif kepada pasaran.

Janet Yellen dilihat sebagai seorang yang berkebolehan dalam menstabilkan kitaran ekonomi. Isu yang tinggal sekarang hanyalah sama ada kelulusan pakej ransangan ekonomi A.S akan diteruskan ataupun akan berdepan halangan.

Sekarang ini, para pelabur sekarang sedang menunggu untuk melihat bagaimana reaksi Organisasi Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) terhadap kenaikan harga minyak mentah kali ini.

Sebelum ini, negara anggota OPEC+ telah berikrar untuk menggurangkan penghasilan bekalan minyak mentah sehingga 2021 untuk mengawal harga minyak global daripada menjunam lebih teruk akibat kekurangan permintaan. Kekurangan permintaan minyak mentah sebelum ini akibat perintah berkurung untuk mengekang penyebaran jangkitan COVID-19.

 

 

Kongsi Melalui:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *