TRADERTOWN.my

pengeksport minyak terbesar picture
Gambar oleh Getty Images

Pengeksport minyak terbesar dunia mengalah juga akhirnya!

Negara-negara pengeksport minyak terbesar di dunia (OPEC+) telah bersetuju untuk bekerjasama dalam aspek pembekalan minyak mentah dunia bagi tahun hadapan.

Kerjasama ini bertujuan untuk memastikan pemulihan harga pasaran minyak mentah global berjalan dengan lancar setelah dunia ditimpa malapetaka akibat pandemik COVID-19.

Selepas seminggu perbincangan dalam talian, OPEC+ dan sekutunya yang diketuai oleh Arab Saudi telah bersetuju untuk berkompromi dalam meningkatkan pengeluaran minyak mentah dengan hanya sebanyak 500,000 tong sehari bermula Januari. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding yang dirancang sebelum ini iaitu kira-kira peningkatan 2 juta tong minyak mentah sehari.

Paras baharu itu tertakluk kepada pemerhatian bulanan yang akan dijalankan oleh menteri OPEC+ dan diketuai oleh Menteri Tenaga Arab Saudi iaitu Putera Abdul Aziz bin Salman. Namun begitu, jumlah pengeluaran minyak mentah ini boleh ditingkatkan atau dikurangkan bergantung kepada keadaan pasaran.

Persetujuan kerjasama itu telah dicapai setelah perbincangan yang lama di Vienna melibatkan 23 buah negara anggota pengeksport minyak, OPEC+.

Namun begitu, sebahagian daripada negara anggota mempertikaikan bahawa OPEC+ seharusnya mempertimbangkan kebarangkalian permintaan minyak mentah yang lemah di peringkat global dan menggesa agar perjanjian ini dilanjutkan lagi selama 3 bulan.

Tetapi, majoriti negara anggota terutamanya Arab Saudi yang merupakan antara negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia telah menyambut baik dengan cadangan OPEC + ini. Arab Saudi optimis terhadap permintaan minyak mentah global bagi masa akan datang, tambahan pula setelah kajian penemuan vaksin menunjukkan perkembangan yang positif.

Perkembangan positif ini secara tidak langsung dapat memulihkan semula kitaran ekonomi dunia dan menggalakkan penggunaan minyak mentah bagi kegunaan domestik dan industri. Semakin tinggi permintaan minyak global, semakin tinggi nilai yang akan ditawarkan dan dapat memulihkan semula harga pasaran minyak mentah sebelum ini.

Selain itu, pakar industri tenaga menyambut baik keputusan OPEC+ ini. Menurut Robin Mills, Ketua Eksekutif Perundingan di Qamar Energy, rancangan OPEC+ ini adalah realistik dan tidak terlalu drastik dalam mendepani ketidaktentuan pasaran ketika ini.

Pelaksanaan kerjasama ini dapat membantu memulihkan harga pasaran dan dikawal mengikut perkembangan semasa vaksin COVID-19.

 

 

Kongsi Melalui:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *