TRADERTOWN.my

minyak picture
Gambar oleh John Cole

Minyak mentah junam lagi buat OPEC hilang arah

Minyak mentah turun semasa sesi pembukaan pasaran Asia, dengan kejatuhan mendadak sebanyak 4%. Perintah berkurung di Eropah bagi mengekang penyebaran COVID-19 dan kebimbangan mengenai pilihan raya Amerika Syarikat (A.S) pada 3 November ini memberi impak kepada pasaran.

 

Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 2.80% kepada $36.83 manakala niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) jatuh 3.27% kepada $34.62.

 

Kecuraman harga minyak sebaik sahaja pasaran dibuka telah dipengaruhi oleh berita buruk pada hujung minggu yang lalu. Pasaran masih dalam keadaan kekal menurun sejak minggu lepas.

 

Kedua-dua niaga hadapan Brent dan WTI ketika ini jatuh daripada paras $40 sejak kegawatan akibat pandemik COVID-19 semakin teruk. Keadaan ini ditambah pula dengan beberapa buah negara kuasa besar ekonomi Eropah, seperti United Kingdom (U.K), Itali, Perancis dan Jerman yang masih lagi gigih bertarung dengan kesan ekonomi dan sosial akibat dilanda teruk wabak ini.

 

Jumlah kes jangkitan COVID-19 yang meningkat secara mendadak di A.S merisaukan pelbagai pihak kerana kemungkinan untuk mengalami kegawatan yang lebih teruk dari keadaan sedia ada ini.

 

Perintah berkurung yang diumumkan oleh U.K dan Itali hanya akan mengeruhkan lagi keadaan di Eropah. Ketika ini, kebanyakkan pedagang sedang melihat kepada peningkatan kadar jangkitan di A.S dan berfikir sama ada keadaan A.S untuk minggu mendatang akan akhirnya menjadi seperti kebanyakkan negara Eropah sebelum ini.

 

Pasaran juga sedang memerhati pilihan raya Presiden A.S dengan kebimbangan terhadap sebarang kemungkinan. Pandemik COVID-19 telah menyebabkan perubahan dari aspek amalan penggundian yang mana akan memberi kesan terhadap kelewatan penggiraan undian sehingga mengakibatkan pengisytiharan kemenangan pramatang. Pengisytiharan kemenangan pramatang ini akan memberi ruang kepada tindakan melawan keputusan akhir pilihan raya secara undang-undang.

 

Di samping itu, kekurangan permintaan juga membimbangkan banyak pihak, ditambah pula dengan tindakan Libya dan Iraq yang masih lagi berdegil dalam meningkatkan pengeluaran minyak mentah mereka walaupun Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah menggurangkan kuota buat setiap ahli mereka.

 

OPEC+ yang merupakan sebuah organisasi terdiri daripada OPEC dan negara sekutu penghasil minyak mentah dijadualkan akan bermesyuarat pada 10 November dan 1 Disember ini bagi membincangkan polisi masa hadapan. Namun, dengan pemotongan penghasilan sebanyak 7.7 juta tong sehari pada ketika ini, harapan untuk negara-negara yang bergantung sumber ekonomi melalui jual beli minyak mentah ini untuk menggurangkan lagi penghasilan mereka masih dalam keadaan samar.

 

Sementara itu, Norway sedang mencari cara untuk meningkatkan penghasilan minyak dari medan minyak Johan Sverdup. Sebelum ini, penghasilan minyak mentah pada suku ketiga menurun akibat daripada isu penyelenggaraan dan teknikal.

Kongsi Melalui:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *